Sayyid Qutb
adalah seorang tokoh yang amat mesra bagi mereka yang terjun ke medan dakwah.
Penulisan-penulisannya menjadi panduan dan sumber inspirasi kepada para petugas
Islam. Karangan beliau seperti Tafsir
Fi Dhilal al-Quran dan Petunjuk
Sepanjang Jalan, menjadi teman akrab pendakwah untuk menyalakan
suluhan tarbiah Islam. Perjuangannya di dalam Ikhwan al-Muslimin bersama
rakan-rakan seperti Hasan Hudhaibi, adalah lanjutan kepada momentum yang telah
dicetuskan oleh pengasasnya al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna.
Namun, tidak
ramai yang berpeluang mengenali kehidupan Asy-Syahid Sayyid Qutb secara
mendalam. Tidak banyak maklumat yang diketengahkan kepada pembaca tentang latar
belakang keluarganya yang sudah tentu memberikan kesan yang besar kepada
pembentukan peribadi dan kualiti diri Asy-Syahid malah kemudiannya turut
terkesan dengan ketokohan Asy-Syahid itu sendiri.
Di dalam
kesempatan ini, kita akan mengambil peluang untuk mengenali tokoh srikandi yang
menjadi sendi penting di dalam ketokohan Asy-Syahid Sayyid Qutb itu sendiri.
Semoga ia menjadi dorongan kepada wanita muslimah hari ini untuk menggembeleng
peranan dan potensi mereka ke arah produksi lebih ramai insan luar biasa
seperti Asy-Syahid Sayyid Qutb di tengah-tengah gelombang cabaran akhir zaman
ini.
Bonda Sayyid Qutb
berasal dari sebuah keluarga yang mulia. Beliau berkahwin dengan Qutb Ibrahim,
ayahanda kepada Sayyid Qutb sebagai isteri kedua, tinggal bersama-sama Qutb
Ibrahim seketika di Kaherah sebelum pulang ke kampung bersama keluarganya.
Bonda Sayyid Qutb
mempunyai empat adik-beradik lelaki, dua daripadanya menuntut di al-Azhar
asy-Syarif. Salah seorangnya dikenali sebagai Ahmad Husain Othman yang lebih
dikenali sebagai Ahmad al-Moushi, nisbah kepada perkampungan Moushah. Ketika
Sayyid Qutb menuntut di Kaherah, beliau tinggal bersama bapa saudaranya ini,
Ahmad al-Moushi.
Sayyid Qutb
dibesarkan oleh bondanya yang
memiliki kesempurnaan sifat sebagai seorang wanita yang solehah dan berjiwa
kental. Beliau seorang yang pemurah dan banyak bersedekah. Beliau gemar
memasakkan makanan untuk pekerja-pekerjanya di ladang serta tetamu-tetamu yang
datang mengaji di rumah beliau. Bonda Sayyid Qutb tidak pernah mengganggap
semua ini sebagai bebanan kerana beliau menjadikan amalan ini sebagai usahanya
mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Amalan seperti ini sememangnya
menjadi tradisi isteri kepada pejuang-pejuang Islam khususnya di rumah-rumah
dan pondok pengajian. Bukan sahaja kesetiaan menuntut ilmu dan bekerja yang
terhasil malah kesemua yang bernaung di bumbung itu terikat dengan perasaan
kasih sayang yang terpercik dari sifat pemurah dan penyayang wanita solehah
yang menjadi srikandinya.
Bonda Sayyid Qutb
juga amat gemar mendengar bacaan al-Quran malah beliau amat mudah terkesan
dengan ayat-ayat yang dibacakan itu. Hal ini dijelaskan oleh Sayyid Qutb di
dalam bukunya at-Tasweer
al-Fanni fi al-Qur’aan: “Setiap kali engkau asyik mendengar tilawah
al-Quran dari belakang tabir oleh para Qurra’ yang datang mengaji ke rumah kita
di sepanjang bulan Ramadhan, seandainya aku tercuai dan ingin bermain-main
seperti kanak-kanak yang lain, engkau akan mengisyaratkan kepadaku dengan tegas
sehingga aku terdiam dan turut menyertaimu mendengar bacaan itu. Dari situlah
jiwaku mula meneguk irama al-Quran walaupun dengan usiaku yang masih kecil,
belum mampu memahami makna bacaan itu...
Ketika aku
membesar di dalam penjagaanmu, aku telah dihantar ke Madrasah Awwaliyyah di
kampung. Harapan terbesarmu kepadaku adalah supaya Allah membukakan jalan
kemudahan bagiku oleh Allah untuk aku menghafaz al-Quran dan direzekikan
kepadaku suara yang lunak untuk membacanya. Sesungguhnya semenjak itu aku sentiasa membacakan al-Quran bagimu di setiap
masa dan setiap ketika...
Kini engkau telah
pergi meninggalkanku, wahai bonda tersayang. Gambaran terakhir dirimu yang
sentiasa segar di ingatanku adalah samar-samar dirimu yang sering duduk di
hadapan radio, mendengar keindahan bacaan-bacaan al-Quran. Amat jelas pada
lekuk-lekuk wajahmu yang mulia, tanda-tanda mendalamnya ertimu terhadap makna
yang tersurat lagi tersirat kalimah al-Quran itu, dengan hatimu yang agung dan
perasaan halusmu yang merenung.” [ms 5, at-Taswir
al-Fanni fi al-Quran, Dar ash-Shurooq, tanpa tarikh].
Sayyid adalah
anak sulung lelaki beliau di samping anak-anaknya yang lain iaitu Aminah,
Hamidah dan Muhammad. Wanita berjiwa besar ini telah membesarkan anaknya, Sayyid, dengan penuh
ketelitian. Pada “Sayyid”lah beliau letakkan segala harapan, lantas
anaknya ini dibesarkan dengan iman, kemuliaan dan latihan pendedahan memikul
tanggungjawab. Malah bonda Sayyid Qutb mahukan anaknya ini menjadi dewasa lebih
awal dari masa biasanya. Sayyid sentiasa ditiupkan jiwa kedewasaan sehingga
beliau acapkali menjauhkan diri dari suasana kebudak-kebudakan yang mengiringi
zaman kanak-kanaknya.
Sesungguhnya
bonda Sayyid Qutb telah menggabungkan dua unsur penting yang membina
keperibadian mujahid dan mujaddid ini. Beliau limpahkan sepenuh rasa kasih
sayang dan kemanjaan seorang ibu kepada anak, tetapi kasih sayang itu disiram
dengan keakraban al-Quran. Kasih sayang itu bukanlah kemanjaan yang
membinasakan proses pembinaan syakhsiah jati diri anaknya kerana di dalam
kemanjaan itu, bonda Sayyid Qutb membina keyakinan diri yang tinggi di dalam diri anaknya supaya membesar
sebagai seorang yang berjiwa tinggi.
Bonda Sayyid Qutb
kembali ke rahmatullah pada tahun 1940. Kematiannya memberikan impak yang amat
besar kepada Sayyid Qutb. Ia dibayangkan menerusi ungkapan beliau di dalam
tulisannya al-Atyaaf
al-Arba’ah ms. 168 [oleh Sayyid Qutb dan adik beradiknya, terbitan
Beirut 1967M tanpa nama penerbit]:
“Bonda...
Siapakah selepas
ini yang akan menceritakan kisah zaman kanak-kanakku, seakan-akan ia suatu
peristiwa yang baru semalam berlaku? Siapakah lagi yang akan membayangkan
kepadaku zaman muda untuk dibawa kembali bayangannya kepada kehidupan dan
diundang semula kepada alam wujud ini buat kali yang seterusnya?
Engkau telah
memberikan gambaran terhadapku bahawa diriku adalah insan yang istimewa
semenjak aku masih di dalam dodoian buaian kehidupan. Kau sering hikayatkan
kepada diriku tentang impianmu yang lahir dengan kelahiranku, yang
merangkak-rangkak terserap ke dalam jati diriku bahawa aku seorang yang mulia.
Ia telah tergalas di atas diriku sebagai suatu tanggungjawab yang besar dan
semua ini adalah dari tatih impianmu terhadapku dan ‘wahyu’ bisikan hatimu.
Siapakah nanti yang akan membisikkan kepadaku khayalan-khayalan yang
membara itu? Siapakah lagi yang akan meniupkan dorongan ke dalam hatiku..?.”
Amat benarlah
bagai yang dikata pepatah: “tangan yang mengayun buaian itu bisa menggoncang
dunia”. Sentuhan tarbiah tangan seorang ibu telah melahirkan seorang mujahid
seperti Sayyid Qutb, yang limpahan hikmahnya terus mengalir deras ke jiwa
pejuang Islam, di sepanjang zaman...
- Diolah semula dari kitab Sayyid Qutb: Min al-Meelaad ilaa al-Istisyhaad
No comments:
Post a Comment
Mau Komen ? sile~Tak Mau ? ,its oke !